Thursday 3 December 2009

Korban?

Nampaknya esok genaplah seminggu yang lalu kita menyambut Hari Raya Aidiladha. Hari Raya Aidiladha juga boleh dikenali sebagai Hari Raya Qurban. Boleh dikatakan setiap tahun, Orang Islam akan menyambut dua perayaan yang besar iaitu Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha.

Di Malaysia, kedua-dua perayaan ini merupakan antara dua hari perayaan yang terbesar di negara tersebut. Sebagai umat Islam, aku juga tidak ketinggalan untuk menyambut perayaan ini setiap tahun terutama bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun, sejak aku meninggalkan tanah air untuk melanjutkan pelajaran ke bandar Seoul ini, sudah empat perayaan aku menyambut raya di negara bukan Islam ini.

Secara ringkas, Hari Raya Qurban merupakan simbolik kepada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang cuba untuk menurut perintah Allah s.w.t supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Pada waktu itu baginda mendapat mimpi supaya anaknya tersebut disembelih. Akhirnya di saat baginda ingin menyembelih anaknya sendiri, Allah memerintahkan supaya baginda berhenti dan kemudian seekor kibas dari langit dijadikan sebagai ganti.

Kisah ini merupakan kisah yang menarik untuk didengar mahupun diceritakan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka sedar akan maksud pengorbanan yang sebenar sejak mereka masih lagi setahun jagung. Bukankah lebih elok sekiranya mereka disajikan dengan kisah-kisah Nabi-Nabi dan para Rasul yang juga mempunyai mukjizat berbanding membiarkan mereka hanyut dengan kisah-kisah dongeng moden seperti power rangers dan ultraman yang juga mempunyai kuasa tetapi secara amnya langsung tidak munasabah untuk diterima akal.

Baik, berbalik pada cerita asal. Aku bukannya seorang yang sangat berilmu dalam agama untuk bercerita tentang kisah-kisah seperti di atas yang banyak terkandung di dalam kitab Al-Quran. Namun aku juga punya kisah dan pengalaman aku sendiri yang berkaitan dengan pengorbanan. Sejak aku kecil, mungkin sama seperti semua orang, aku tidak pernah cuba untuk mendalami sendiri apa itu maksud pengorbanan. Malah aku seperti orang lain hanya tahu menurut dan fikiran aku seperti telah ditetapkan bahawa setiap tahun pasti akan ada perayaan besar yang akan disambut bersama-sama dengan keluarga. Tidaklah sehingga aku semakin meningkat remaja dan kini hampir dewasa. Aku sudah hampir mengerti apa itu maksud kehidupan. Semakin banyak yang aku pelajari tentang kehidupan di dunia ini yang penuh dengan fitnah. Namun pada usia yang sebegini muda, bukan bererti aku sudah cukup berpengalaman. Tetapi aku hanyalah pemuda yang ingin belajar lebih banyak lagi dengan pengalaman.

Al-kisah, pada minggu lepas iaitu di saat kebanyakan Muslim menyambut Aidiladha di masjid-masjid. Aku dan beberapa orang rakan hanyalah menunaikan solat sunat aidiladha di Bilik Malaysia di kolej aku, Dong Yang Technical College (DYTC). Pagi itu, jemaah yang hadir di bilik tersebut boleh dikira dengan jari. Rakan-rakan aku yang lain semuanya dapat cuti dari pensyarah mereka, tinggallah kami yang tidak bercuti ini. Ada rakan aku yang memang tidak dapat cuti. Sedangkan aku sememangnya tidak ingin bercuti kerana aku tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Dua kelas aku pada hari itu merupakan dua subjek yang susah untuk aku fahamkan. Bagi aku, seeloknya aku mengorbankan kelebihan aku untuk mendapat cuti dengan terus masuk ke kelas seperti biasa.

Dan pada hari itu, pertama kalinya aku beraya sambil belajar di dalam kelas, bersama rakan-rakanku yang berbangsa Korea. Ia bukan sesuatu yang aku boleh banggakan. Tetapi aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana ternyata pengorbanan yang aku lakukan tidak sia-sia. Pada hari tersebut, kedua-dua kelas yang aku lalui, kedua-duanya sangat berguna. Pensyarah kami rupanya akan memberitahu bab-bab yang akan keluar dalam peperiksaan akhir semester yang akan datang. Aku hanya mampu tersenyum dalam hatiku. Andaikata aku turut memohon cuti (kemungkinan besar juga akan diterima), pasti akan menjadi lebih payah buat aku untuk mengulangkaji kedua-dua subjek tersebut.

Aku bersyukur. Nampaknya aku sendiri sudah mula menghargai erti pengorbanan. Tahniah Encik Fidzuan Kassim.

4 comments:

cupin cipon said...

tahniah fizduan!!
saya berbangga dengan awak...

Abu Abdullah said...

nate cipong nih

DandelinoiD said...

ini cerita paling impressive dari kau...
sama macam aku gak, akhirnya aku dapat siapkan kerja 3 minggu dalam satu hari..

...hari ketika orang lain bertakbir.

ps: terharu aku baca dow...

Abu Abdullah said...

huhu..sbnrnya malam tu pon ak tidur lambat siapkan kerja dua minggu yang kene anta kul 9..lol