Happy Anniversary? Ini bukan ucapan sambutan ulangtahun untuk diri aku seperti 'couple-couple' yang lain yang menyambutnya setiap tahun. Sedangkan aku kini masih 'single', masakan aku mempunyai seorang 'girlfriend'? Tetapi ucapan ini hanyalah ditujukan khas buat kedua-dua ibu bapa aku yang menyambut ulangtahun perkahwinan mereka pada hari ini.
Buat mak dan ayah,
Tahniah kerana berjaya mengekalkan perkahwinan hingga ke anak cucu. Saya sebagai anak turut menumpang rasa gembira kerana dilahirkan dalam keluarga yang tidak bercerai-berai. Perkahwinan merupakan sesuatu yang istimewa. Melalui perkahwinanlah, wujudnya kasih sayang dan tali persaudaraan. Sememangnya, manusia tidak akan dapat hidup berseorangan. Manusia memerlukan teman. Malah Bapa kepada seluruh umat manusia iaitu Nabi Adam a.s juga memerlukan teman dan Allah mencipta Hawa melalui tulang rusuk baginda sendiri.
Ayah,
Terima kasih kerana menjadi seorang ayah dan pemimpin yang baik. Sebagai anak yang paling bongsu, saya juga tidak kurangnya pernah dimarahi oleh ayah. Mungkin sewaktu kecil, saya tidak pernah faham kenapa ayah perlu terlalu tegas dan marah begitu sekali. Tetapi dengan ketegasan yang ayah tunjukkan telah berjaya mengajar anak ini erti kehidupan. Saya mula faham betapa besarnya tanggungjawab seorang ayah. Semakin saya meningkat remaja, semakin saya meronta-ronta untuk berdikari. Semakin banyak juga kesilapan yang saya lakukan. Namun tanpa sokongan dan dorongan melalui ketegasan dan kasih-sayang ayah, tidak mungkin anak ini akan berjaya melanjut pelajaran ke sini. Kini saya semakin menghampiri usia dewasa. Sudah lebih 20 tahun ayah mengerah keringat untuk membesarkan saya. Dan kini saya sendiri mula terfikir, apakah saya juga dapat menjadi seorang ayah yang baik? Seorang ayah yang dapat mendidik anaknya menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat? Ternyata pengorbanan menjadi seorang ayah bukanlah kecil. Sebagai anak, saya menyesal kerana banyak melakukan dosa kepada ayah. Saya pernah menipu, malah membenci ayah. Sedangkan ayah tidak pernah berhenti menghulurkan wang saku kepada saya. Bodohnya saya pada waktu itu. Saya sering merasakan ayah tidak mempunyai 'concern' terhadap saya. Mungkin kerana ayah sangat busy dan pulang dari kerja, saya hanya mampu mendengar ayah membebel. Dan mungkin sebab itu saya sangat gembira dihantar ke sekolah asrama. Seperti orang lain, ingin bebas dari kongkongan. Tetapi dalam masa sama, sebenarnya saya masih inginkan perhatian. Saya cuba buat yang terbaik dan berjaya dengan cemerlang dalam PMR. Saya mengharapkan ayah melahirkan perasaan bangga ketika itu, tetapi tiada apa. Sejak itu saya sering berfikir. Mungkin begitu caranya ayah cuba mengajar saya. Dan saya teringat, ayah tidak merasai kehadiran seorang bapa di zaman sekolah. Sedangkan saya beruntung masih mempunyai seorang bapa. Sejak itu, mungkin pelajaran saya terumbang-ambing kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Tetapi mungkin dah namanya rezeki, saya masih mampu berjaya dalam SPM. Saya sudah tidak kisah sekiranya saya tidak dengar sendiri ayah ucapkan bahawa ayah berbangga dengan saya - mungkin masih belum tiba masanya. Tetapi melaui air muka dan raut wajah ayah, saya dapat nampak betapa ayah sangat gembira dan berbangga dengan kejayaan saya!
Emak,
Menjadi seorang ibu, merupakan tugas yang saya tidak akan faham sepenuhnya kerana saya seorang lelaki. Tetapi cukuplah saya memahami betapa pentingnya seorang ibu kepada anak-anak. Saya membesar sebagai anak bongsu yang sememangnya mempunyai perasaan sangat manja kepada emak. Mungkin setiap anak bongsu mempunyai perasaan yang sama. Tetapi semanja-manja saya, tidaklah sehingga saya di awal remaja. Pada waktu remaja saya, saya sudah mula jauh daripada emak, mahupun ayah. Maksudnya, usia remaja saya kebanyakannya dilalui tanpa bimbingan penuh daripada emak dan ayah. Tetapi mungkin berkat daripada doa emak dan ayah, saya masih diberi hidayah oleh Allah untuk terus berbakti kepada ibu bapa. Saya akui, saya tidak akan jadi saya yang sekarang, tanpa pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui sepanjang hidup saya ini. Dan antara yang menjadi nadi utamanya ialah, didikan dan kasih sayang, serta keikhlasan emak mengasuh saya sejak kecil, berjaya menjadikan saya seorang yang lembut hatinya sejak kecil. Mungkin kadangkala saya degil dan tidak mahu mendengar kata. Malah saya sering menipu emak sewaktu kecil. Tetapi emak tidak pernah berhenti mengasuh saya. Saya selalu ingkar kata-kata emak. Saya tinggalkan solat dan tidak mengaji. Saya menipu. Emak pula hanya terus tidak putus-putus mencurahkan kasih-sayang. Memasak makanan yang sedap-sedap setiap hari. Malah perkara yang saya tidak pernah dapat lupa, emak sanggup datang ke sekolah setiap tengah hari untuk menghantar makanan tengah hari ketika saya darjah enam. Hanya kerana saya mempunyai kelas petang demi persediaan menjelang UPSR. Dahulu, saya tidak pernah rasa menghargai apa yang emak lakukan pada waktu itu. Tetapi menjelang umur dewasa ini, saya sering hampir menangis mengenangkan emak. Betapa bernasib baiknya saya dapat mengucapkan terima kasih kepada emak dengan keputusan UPSR saya yang baik pada waktu itu. Namun saya mula melupakan emak dan ayah sewaktu di sekolah menengah. Saya jarang menghubungi emak. Sedangkan emak sangat merindui saya. Betapa berdosanya saya. Tetapi kini saya tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu saya tidak menghubungi emak dan dalam masa yang sama jarang teringatkan emak. Kini mungkin saya jarang menghubungi emak, tetapi dalam hati saya, saya sering teringatkan emak dan ayah. Gambar emak dan ayah dalam dompet saya yang menjadi pengganti emak dan ayah. Saya tidak pernah lupakan mak dan ayah. Saya juga masih ingat, emak pulang dari pasar dan menghadiahkan saya sepucuk pistol koboi dan peluru. Mungkin saya memintanya dari emak pada waktu itu, saya tidak ingat. Tetapi memori yang saya simpan dalam hati ini, walaupun ianya memori yang sudah berbelas-belas tahun lamanya, masih lagi saya simpan dan tidak akan luput biarpun sehingga rambut saya beruban!
Buat emak dan ayah,
Saya tidak pernah mengucapkannya. Apatah lagi menulisnya dalam ucapan-ucapan hari jadi saya kepada emak dan ayah. Saya hanya menyimpannya dalam hati. Tetapi hari ini, saya ingin sekali mengucapkannya.
Bahawa saya, sangat sayangkan emak dan ayah.
Hanya kata-kata ini yang saya dapat ucapkan, bagi membalas segala jasa dan pengorbanan emak dan ayah kepada saya. Saya tidak akan dapat membalasnya. Terima kasih kerana masih mengekalkan perkahwinan ini, supaya kami adik-beradik terus mendapat bimbingan yang sempurna dari kedua-duanya, ibu dan bapa kami.
2 comments:
waaan...
ko berjaye membuatkn kakakmu menitiskan airmata....
aku syg mak ayah jugak...
tp xsehebat ko yg mampu bangga kn derang...
it was nice..hope u'll always be a gud son forever.
Post a Comment